Tuesday, February 24, 2009

Jangan sampai rakyat mapuh keghah kerana politik

Untuk seorang yang ketagih membaca kesah-kesah politik macam aku, apa yang sedang berlaku di Malaysia kini merupakan satu heaven-sent, kata orang. Dan aku yakin beribu, malah mungkin berpuluh ribu kalau tak pun beratus ribu orang rakyat Malaysia yang menghabiskan berjam-jam masa mereka sehari sibuk dengan isu-isu politik. Dengan kes Perak, kes bogel Eli Wong, kes Khalid di Selangor, PAU UMNO bulan depan dan sebagainya, terlalu banyak yang boleh diulas, digoreng dan dibincangkan. Dan kini ada 3 pilihanraya kecil pulak. Sampai tiga!

Tetapi aku menahan diri aku dari mengulas dan mengkomen sama ada dalam blog ini atau dalam blog orang, kerana satu protes peribadi yang mungkin tak bermakna apa-apa kecuali pada diri aku dan juga mereka yang di bawah tanggungjawab aku. Protes apa? Protes tentang kebiolan kita semua menghabiskan segenap tenaga, otak dan masa kita untuk isu-isu politik, sedangkan masalah sebenar kita hari ini bukan politik, tetapi ekonomi dan langsung dari itu kesejahteraan rakyat.

Semakin hari semakin ramai rakyat Malaysia yang hilang kerja atau dipotong gaji yang banyak atau berkurangan teruk untung perniagaan mereka atas sebab krisis ekonomi, tuan-tuan dan puan-puan pembaca sekalian. Bila hilang kerja, maka tidak ada duit yang masuk. Bila tidak ada duit yang masuk, maka anak-anak nak makan apa? Baby nak bagi susu apa? Duit sekolah anak-anak macam mana? Kalau ada savings, boleh jugalah gunakan savings, itupun sampai bila? Tapi dari pengalaman bergaul dengan golongan susah (aku kategori menengah kot), biasanya apa yang dikatakan savings ini tidak wujud. Sebilangan besar rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah hidup semata-mata atas gaji bulanan atau harian. Kita orang dewasa boleh makan bahan makanan paling minimum yang tak ada khasiat sekalipun, tapi anak-anak kita bagaimana?

Sesungguhnya terdapat kesusahan yang sangat besar dalam negara kita pada masa ini tuan-tuan dan puan-puan. Ini adalah masalah negara nombor satu. Tak ada apa yang lagi penting dari masalah rakyat tak cukup makan.

Tapi kita sibuk sangat berpolitik. Apa bestnya kemaluan Elizabeth Wong tu sampai berjuta-juta jam produktif pemimpin dan rakyat kita dihabiskan bincang isu itu. Apa kecoh sangat ke hal lembu korban dan hal maintenance kereta sampai hal ekonomi dan kesejahteraan rakyat jadi isu sampingan? Apa sibuk sangat samada Chua Soi Lek dapat oral seks atau tidak? Apa kes hidup mati ke siapa yang jadi V-P UMNO sampai 8 orang nak bertanding – kalau duduk dalam MT tak boleh ke bagi khidmat pada parti, bagi idea untuk majukan negara dan sejahterakan rakyat? Mati ke kalau BN pegang Perak, tunggu aja lah next General Election, apa yang sibuk sangat macam dunia dah nak kiamat lakunya?

Sudah tiba masanya pemimpin BN mahupun Pakatan Rakyat, meletakkan fokus pada isu yang sebenarnya, iaitu kegawatan ekonomi dan kesusahan rakyat. Begitu juga dengan mainstream media, bloggers dan pembaca, tumpukan usaha dan minda anda pada isu ekonomi dan berbincang cara mengatasi kesusahan rakyat. Jangan hanya bercakap kononnya memperjuangkan rakyat, tapi segala tenaga dan usaha habis semuanya digunakan memburuk-burukkan orang, membuka dan menjaja aib orang, memfitnah orang, bergaduh nak rebut kuasa, dan sebagainya.

Aku hanya mengingatkan.

Ya, dalam banyak segi kita menghadapi beberapa krisis politik. Tapi sesungguhnya kita di dalam krisis ekonomi yang JAUH lebih besar. Adalah menjadi tanggungjawab semua untuk sama-sama memikirkan, mencadang dan membahas idea dan langkah mengatasinya.